sepa ni???? mcm bos...khakhakha...
pekerja2 phn tgh menular...lapor sama leader ni nnti...potong gaji!!
ini aku kenal, c maijimbu, jn mrh ya...Ini la mesin yg digunakn utk pemasangan komponen kereta keluaran proton.
sapa ni ya, ndk jelas bh.. len kali amik bgus2 gmba tu.. division berapa ni?
Photographer : Kadir b Bacho
Oleh : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat:KAWASAN PERINDUSTRIAN, SHAH ALAM
Tarikh :26/01/93
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak PHN Industry Sdn. Bhd. kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan pembukaan kilang barunya pada pagi ini.
Saya berbangga kerana satu lagi projek usahasama di antara pelabur-pelabur Malaysia dengan Jepun dalam bidang industri otomobil di Malaysia telah dapat ditubuhkan.Sekiranya kita berpandukan kepada pengalaman dan kejayaan projek-projek usahasama di antara pelabur-pelabur Malaysia dengan Jepun yang lain, kita yakin bahawa PHN Industry juga akan turut berjaya.
Pada keseluruhannya industri otomotif di negara ini telah berjaya membuat sumbangan yang besar kepada proses perindustrian dan pembangunan ekonomi. Pada peringkat awalnya, iaitu di peringkat pemasangan kenderaan, industri ini telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia.
Proses pemindahan teknologi ini tidak statik tetapi berterusan. Secara perlahan-lahan tetapi pasti, teknologi sedang dipindahkan ke negara kita melalui projek-projek usahasama dengan negara-negara maju. Kejayaan pemindahan teknologi ini banyak bergantung kepada kesungguhan, kemampuan dan komitmen individu-individu yang terlibat secara langsung dengan teknologi berkenaan. Individu- individu ini perlu sentiasa peka terhadap perkembangan teknologi di dalam bidang masing-masing dan sentiasa memberi tumpuan terhadap teknologi yang lebih tinggi dan terkini.Di samping itu, setelah menguasai sesuatu teknologi, penerima harus berani meningkat dan membuat inovasi sendiri.Tidak ada hanya satu cara sahaja untuk membuat sesuatu barang. Pasti ada berbagai-bagai cara, sama ada ortodoks atau tidak, untuk membuat sesuatu. Mereka yang terkongkong dengan hanya cara yang biasa sahaja tidak akan maju dan akan selalu bergantung kepada pihak lain untuk teknologi.Teknologi yang dibeli memang lebih mahal daripada teknologi ciptaan sendiri.
Masa depan sektor pengilangan negara kita sememangnya cerah. Tetapi yang menjadi isu penting untuk memastikan ia terlaksana ialah pemindahan teknologi yang mempunyai nilai- tambah yang lebih tinggi supaya kita boleh memberi tumpuan kepada operasi pengilangan produk yang menyeluruh.
Justeru itu, langkah yang wajib ke arah pencapaian matlamat ini ialah dengan memberi penekanan terhadap pelaksanaan usaha-usaha Penyelidikan dan Pembangunan atau R & D di dalam negeri. Pada masa ini, usaha-usaha R & D di dalam bidang pengilangan masih terlalu kecil, misalnya jika dibandingkan dengan sektor pertanian. Sebagai contoh, 93 peratus daripada peruntukan yang telah digunakan untuk R & D, telah dianjurkan oleh sektor awam, dan daripada jumlah itu tiga perempat adalah untuk usaha-usaha R & D yang berasaskan pertanian atau 'agro-based'.
Jika dibandingkan dengan United Kingdom, kita dapati bahawa hanya 10 peratus daripada jumlah perbelanjaan R & D di negara itu dibiayai oleh sektor awam. Sembilan puluh enam peratus daripada usaha-usaha R & D mereka pula dikendalikan oleh sektor pengilangan. Kita sedar bahawa terdapat beberapa halangan di dalam usaha-usaha R & D di negara kita.
Namun halangan-halangan ini hendaklah dijadikan pencabar dan bukan alasan. Semua pihak yang terlibat dengan R & D, terutamanya sektor swasta, hendaklah memastikan bahawa mereka terlibat dalam aktiviti-aktiviti mempertingkatkan lagi R & D di dalam bidang masing-masing.Saya berharap agar rakan-rakan usahasama di dalam projek- projek kita akan terus memberikan sokongan dan kerjasama ke arah usaha ini. Dalam masa yang sama rakyat Malaysia sendiri mestilah menyiapkan diri untuk menyambut cabaran ini, dan kita yakin rakyat Malaysia mempunyai kemampuan. Di samping itu, struktur untuk menyokong aktiviti-aktiviti R & D di sektor pengilangan swasta juga perlu diperkukuhkan.
Rakyat Malaysia juga perlu peka dan sentiasa mengikuti perkembangan amalan-amalan di kalangan pengusaha-pengusaha industri. Misalnya, tenaga kerja kini kian kompetitif.Yang menjadi rebutan ialah tenaga kerja yang mempunyai berbagai-bagai kemahiran. Pengusaha-pengusaha industri kini sibuk memperkatakan soal TQC, pengaliran maklumat dua hala, dan penekanan terhadap konsep pengurusan yang berorientasikan kumpulan. Segala-gala konsep ini mendorong pembentukan tenaga kerja yang berkualiti tinggi.Kesimpulannya, kita mesti mewujudkan golongan tenaga kerja yang berkualiti. Kita mahu hakikat ini menjadi daya penarik kepada para pelabur dan bukan tenaga kerja yang murah.
Kebelakangan ini, jumlah pelaburan oleh pelabur-pelabur tempatan dan asing telah banyak meningkat. Namun ia belum memadai untuk mencapai pertumbuhan seperti yang dirancangkan di dalam Rancangan Perindustrian Malaysia. Kita perlu memesatkan lagi langkah-langkah ke arah meningkatkan pelaburan di dalam sektor pengilangan.
Pada hari ini pula, industri ini telah berkembang maju dan di dalam proses tersebut telah juga merintis dan menggalakkan pertumbuhan industri komponen-komponen atau peralatan kereta, bukan sahaja untuk kegunaan atau permintaan pasaran alat ganti tetapi juga lebih penting, industri ini telah dapat mempertingkatkan kadar kegunaan komponen-komponen atau alat-alatan keluaran tempatan di dalam kenderaan-kenderaan yang dipasang di negara kita.
Pada tahun 1982, Kerajaan telah mengambil langkah yang kontroversial untuk membangunkan industri kenderaan bermotor secara integrasi dengan menubuhkan Perusahaan Otomobil Nasional Bhd. (PROTON) dan melancarkan projek Kereta Kebangsaan. Harapan Kerajaan ialah kereta kebangsaan akan menjadi 'catalyst' bagi industri komponen dan kejuruteraan di Malaysia. Strategi ini, sedikit demi sedikit telah berjaya meningkatkan secara sistematik dan tersusun pengeluaran komponen yang semakin canggih, persis, bermutu tinggi, kemahiran daripada segi teknologi dan kejuruteraan tempatan khusus untuk bidang kenderaan bermotor.
Memandangkan bahawa pasaran dalam negeri kita adalah terhad, Kerajaan berharap industri komponen-komponen serta peralatan kereta akan dapat bersaing di dalam pasaran antarabangsa. Pengeluar-pengeluar komponen tempatan juga boleh mengambil peluang untuk memasuki pasaran ASEAN menerusi usahasama Skim Perindustrian ASEAN atau 'ASEAN In- dustrial Join-Venture (AIJV) Scheme' serta Skim Komplementasi 'Brand-to-Brand' di dalam industri otomotif. Akhir-akhir ini, Kerajaan bersama-sama dengan Kerajaan- Kerajaan ASEAN yang lain sedang melaksanakan skim 'Common Effective Preferential Tariff' (CEPT) dan menerusi skim ini, kita berharap akan wujud pasaran bebas ASEAN (ASEAN Free Trade Area) yang dapat memberi galakan berterusan kepada industri komponen otomotif.
Setakat ini, terdapat lebih daripada 200 syarikat pengeluar komponen otomotif dan lebih daripada 70 daripada mereka khusus mengeluarkan barangan untuk pasaran asal pengeluar-pengeluar kenderaan atau 'original equipment mar- ket'. Dengan adanya dasar skim kandungan tempatan untuk kenderaan penumpang dan komersil yang dipasang di negeri kita berharap dapat membantu mengembangkan lagi pasaran terhadap komponen-komponen tersebut.
Berdasarkan kepada angka-angka pengimportan komponen serta peralatan kereta, terdapat ruang yang luas bagi mempertingkatkan pengeluaran komponen serta alatan kritikal di dalam industri kenderaan bermotor. Di dalam tempoh Januari hingga November 1992, import komponen dan peralatan berjumlah RM2.1 billion. Komponen-komponen tersebut mungkin boleh dikeluarkan bagi dibekalkan kepada Proton atau kereta yang lain atau pun mungkin dieksport. Sehubungan dengan itu, Kerajaan telah mewartakan pengeluaran komponen serta peralatan kenderaan sebagai satu aktiviti yang digalakkan dan dengan itu adalah layak untuk dipertimbangkan pemberian galakan cukai seperti Taraf Perintis atau galakan Elaun Cukai Pelaburan.
Kerajaan memang menggalakkan pelaburan di dalam industri ini daripada sumber tempatan atau luar negeri.Kita berpendapat bahawa usahasama di dalam bidang ini akan mempertingkatkan lagi kadar pertumbuhan dan penggunaan teknologi serta dapat menyediakan peluang pasaran antarabangsa menerusi 'marketing network' yang sedia ada oleh pengeluar-pengeluar luar negeri tersebut.
Kerajaan menggalakkan projek usahasama dengan pihak- pihak asing di dalam bidang-bidang berikut:-
- pengeluaran komponen kritikal seperti enjin dan peralatan transmisi;
- pengeluaran barangan separuh siap (intermediate materials) seperti barang tuangan untuk enjin dan transmisi (raw castings for engine and trans- mission), peralatan penempaan (forged parts) serta komponen-komponen kecil yang digunakan dalam pemasangan komponen-komponen besar atau yang utama;
- pengeluaran bagi tujuan mengeksport komponen- komponen tersebut untuk pasaran antarabangsa;
- penubuhan industri khidmat sokongan kejuruteraan seperti membuat acuan dan perkakas (tool/mould and die making).
Justeru itu, Kerajaan mengalu-alukan penubuhan usahasama oleh PHN Industry Sdn. Bhd. yang bergiat di dalam bidang pengeluaran pengecapan komponen otomotif (automotive metal-stamped components). Sebagai sebahagian daripada Pro- gram Pembangunan Pembekal kepada Proton, syarikat ini telah diberi peluang untuk menyertai serta mendapat pengalaman dalam mengeluarkan komponen otomotif persis. Adalah diharapkan PHN Industry Sdn. Bhd. akan dapat membekalkan sepenuhnya keperluan pengecapan alatan otomotif untuk Proton supaya PROTON menggunakan kapasiti dan sumber yang sedia ada untuk digemblengkan kepada aktiviti-aktiviti pengeluaran yang lain.
Saya difahamkan bahawa PHN Industry Sdn. Bhd. bukan sahaja akan menjadi pengeluar utama 'metal stamped parts' untuk industri kenderaan bermotor, tetapi juga untuk membekalkan keluarannya kepada industri elektrik dan elektronik. Umpamanya, terdapat peluang untuk memperkembangkan aktiviti atau pengeluaran 'metal stamped parts' bagi mengeluarkan panel-panel untuk peti sejuk serta mesin basuh.
Adalah diharapkan PHN Industry Sdn. Bhd. tidak hanya melibatkan diri sebagai pembekal peralatan asal (original equipment supplier) untuk Proton sahaja malahan diharap dapat juga mengkaji untuk membekalkan pasaran alat ganti, terutama bagi komponen-komponen kenderaan.
Adalah diharapkan bahawa PHN Industry Sdn. Bhd. akan dapat memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan industri acuan dan perkakas (mould and die industry) tempatan dengan mengeluarkan barangan tersebut di negara ini. Ini juga akan dapat mempertingkatkan lagi hubungan atau linkages di antara pembekal-pembekal komponen dengan industri pemasangan kereta dan dengan ini akan dapat mempertingkatkan mutu serta kemampuan industri sokongan kejuruteraan di negara kita.
Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan kilang baru PHN Industry Sdn. Bhd.
psssstt...hehehe.... : En Rashid - MGM2111 - PROTON - someone